Kebanyakan orang veteran sekarang aku lihat masih kuat dan mampu bekerja walaupun umur melepasi umur bersara (lingkungan 55 tahun) malah majikan dan pihak atasan aku, umur lebih 60 tahun masih sihat dan cergas. Demam dan lenguh itu, biasa disebabkan umur yang meningkat dan cuaca. Tetapi secara am, masih kuat. Mungkin disebabkan peningkatan taraf hidup dan akses kepada bahan dan maklumat perubatan semakin senang dicari sekarang. Tetapi, bukan itu isu yang aku mahu bercerita sekarang. Isu bertentangan ; anak muda yang kurang daya tahan atau lemah daya saing.
Pernah dan kerap terfikir kenapa orang muda, rata rata umur bawah 25 tahun menjadi begitu lemah? Pengalaman saya sendiri, kebanyakan dari golongan ini kurang tahan jika diberi kerja lebih, diminta keluar kawasan ataumembuat kerja yang mereka belum pernah buat. Betul, bukan semua yang bersikap begini tetapi ramai yang aku jumpa bersikap lemah atau perkataan paling sesuai, ‘manja’ begini.
Rumah, cuma bertentangan jalan dengan pejabat, tidak perlu bersesak naik bas atau pengangkutan awam. Bila diminta balik lewat sejam, sudah merungut penat. Padahal, bos yang lebih veteran, boleh bekerja lebih masa, dengan berperang di jalan kerana menaiki kereta atau pengangkutan awam.
Waktu rehat kadang kadang buat aku betul betul hangat hati. Aku boleh bertahan rehat cuma setengah jam (polisi kebanyakan syarikat, rehat sejam sehari), makan, solat dan membaca akhbar. Adik adik ini pula, rehat sejam setengah. Masuk kerja pun, belum ada jaminan terus buat kerja. Masing masing mahu kemaskini blog, baca akhbar online dulu. Hati bertambah panas jika akak pula kena serang disebabkan adik-adik begini.
Hujung minggu tidak kurang ceritanya kerana aku ambil kursus jangka pendek, untuk membaiki kemahiran diri. Rata rata yang bertahan untuk kursus ini, warga emas. Aku tabik hormat ‘kakak-kakak’ ini. Masing masing masih bekerja tetapi masih punya semangat untuk menambah ilmu walau terpaksa korbankan waktu rehat hujung minggu. Rakan sekelas, yang lebih muda daripada aku, minggu kedua sudah tarik diri kerana letih, takut tak terkejar.