Saturday, August 17, 2013

Penterjemah salah terjemah?


Penterjemah salah terjemah?

Ini kes hangat, dan penterjemah professional yang dengar cerita ini, agak hangat hati. Nak gelak pun, agak agak juga sebenarnya. 

Ceritanya, sebelum bulan puasa, agak sebulan lebih jugalah aku simpan. Ada adik ni, telefon aku untuk khidmat menterjemah thesisnya. Jadi dia cakap nak tahu dulu bahasa Inggeris aku macam mana. Aku ok saja cuma nak tahu lah, kan, apa cerita sebenarnya macam ni. Keluhan pelanggan tertipu ni, dia cakap dia pernah upah seseorang untuk terjemahan. Orang cari makan, biasalah. Cakap boleh buat terjemahan, siap mengaku lulusan TESL. Kira cikgu bahasa Inggerislah ni. Hasil bila siap, macam student cikgu bahasa Inggeris je yang buat. Kacau bilau dan banyak Google yang tolong terjemah.

Adoi…, aku tak tahu lah nak gelak ke nak marah. Kalau betul la lulusan bahasa Inggeris, takkan la seteruk yang diberitahu. Atau, yang berkenaan saja mengaku language graduate untuk dapat projek. Cari makan, katakan.

Bagi mangsa yang tertipu, ya, mereka akan buat macam adik ni buat. Dia beringat sebab nak buat thesis dalam bahasa Inggeris mungkin dia boleh buat sendiri tetapi dia perlukan orang yang mahir untuk semak penggunaan bahasa dalam dokumen tersebut.

Bagi adik-adik dan juniors yang baru berjinak jinak dengan industri ni, jangan la menipu kelulusan anda. Baik jujur. Bukan industri terjemahan saja, industri lain pun.  Kalau kita jujur, rezeki datang laju. Aku sendiri,ijazah kejuruteraan perisian. Customer tak kisah pun ijazah aku. Masih mereka puas hati dengan hasil terjemahan.

Tuesday, August 13, 2013

Tempat sunyi atau bingar; mana lebih produktif?


Tempat sunyi atau bingar; mana lebih produktif?

Menurut satu artikel dalam satu majalah , menyudahkan dokumen di kedai kopi lebih baik. Bunyi mesin pembancuh membantu untuk meningkatkan produktiviti kerja. Suasana bunyi yang terkawal, sama seperti bunyi radio yang perlahan dan mesin fotostat sebenarnya ada kesan dalam mood untuk terus bekerja. 

Cara kita bekerja sebenarnya pelbagai. Kebanyakan orang tidak kisah pun dengan bunyi-bunyi ringan seperti radio terpasang, mesin fotostat, printer dan mesin air. Cuma dalam kerja yang memerlukan perhatian lebih, kita perlukan suasana yang betul-betul senyap.

Yang peliknya, ada juga yang aku jumpa, suka buat kerja dalam keadaan ‘meriah’. Sempat juga bertanya, “tak pening ke dengan bunyi sekeliling ni?” Dan, ya mereka tak kisah pun bahkan lebih cepat siapkan kerja kerana ingin lari dari kesibukan bunyi yang ada. Sebenarnya, boleh pakai juga motivasi mereka ini untuk siapkan kerja lebih cepat. Kalau aku sendiri, mungkin tak. Takut kepala sakit dek kebisingan, kerja tak juga siap.