A:Eh, cantiknya awak. Apa awak pakai?
B:Produk biasa je, jenama XXX
Bila A tahu B pakai produk jenama XXX, lalu A pun mencarinya
dan membeli dengan harapan untuk secantik B.
Pernah lihat senario di atas? Percaya atau tidak, senario
ini tidak hanya di iklan tetapi dalam kehidupan seharian kita. Dengan keadaan
rendah diri, kita cuba meniru orang lain yang kita fikir ‘sempurna’ dengan
harapan untuk menjadi ‘sesempurna’ orang tersebut. Kes kecantikan dan kosmetik
mungkin salah satu contoh yang senang diambil kerana ia perkara pertama dilihat
orang ramai. Tidak terkecuali kes pengurusan badan dan fesyen.
Perasaan rendah diri seperti ini dalam keadaan biasa mungkin
boleh dikawal tetapi bila ia menjadi luar biasa atau tidak terkawal boleh
menjadi bencana. Ia boleh menjadi obses yang kadang kadang susah mahu dikawal.
Perasaan rendah diri sebenarnya satu ‘penyakit’ yang perlu
dikawal dengan ilmu. Saya juga dulu pernah mengalami rasa rendah diri kerana
berbadan besar. Bagi sesetengah orang, tidak kisah asalkan sihat tetapi berapa
ramai orang yang berfikir begitu? Dalam kes saya, ya sangat sakit hati. Sudah
berusaha dikatakan tidak berusaha. Makan sedikit dikata orang makan banyak dan
pelbagai lagi. Dan, ya banyak antara kawan kawan senasib mengalami masalah
dalam tabiat kerana hal ini.
Tidak dapat tidak, terpaksa lawan. Nasib saya agak baik
kerana aktif dan giat mencari maklumat dan akhirnya dapat keluar dari masalah
tersebut.
Nak tahu kenapa saya tulis artikel ini tiba tiba?
Kerana saya rasa ramai antara kita alami masalah ini cuma
terluah atau tidak. Dan saya sedar, ramai orang yang berada dalam kumpulan ini
susah mahu keluar dari masalah ini. Salah satunya, tiada sokongan dan tidak
tahu ke mana arah.