Thursday, January 16, 2014

tak bercakap lebih tiga hari?


Rasulullah SAW ada melarang kita dari tidak bertegur sapa lebih dari 3 hari kerana bergaduh.

Ya, yang jelas ialah tidak bercakap kerana bergaduh. Tetapi macam mana pula kerana ‘malas’?

Kenapa saya ambil topik ini? Senang saja, kerana ramai antara kita, tinggal serumah tapi tidak saling bercakap. Tidak bergaduh pun, tapi masing masing sibuk dengan hal sendiri. Sedar sedar saja, kita tak tahu pun apa yang jadi dalam rumah kita. Perasan tidak, sesetengah dari kita, walau berkumpul ramai-ramai, tidak bercakap. Sudah jadi trend, masing-masing menghadap gadget, televisyen.

Ini bahana yang kita jarang sangat sedar.

Ya, dulu ada kempen ‘Di mana anak anda?’ yang menyeru ibubapa ambil tahu di mana anak dan anak buah mereka. Tapi, tahu sahaja di mana mereka tanpa tahu keadaan mereka, tidak menjadi juga. Sebahagian besar akan cakap “Tahu... adik saya ada di rumah. Balik sekolah pukul....” “Anak saya ada dalam bilik dia...buat kerja rumah”

Tapi bila ditebak “dalam seminggu ni, apa cerita terkini?” Saya yakin jawapan yang kerap dapat ialah  “Entah, dia tak cakap pun” atau “Entah, tak tahu pulak..” Silap hari, ada juga yang tak tahu kesihatan anak buah sendiri, atau masalah yang sudah lama mereka simpan.

Mungkin kita ada alasan sendiri, untuk terlepas pandang ambil tahu hal dalam rumah sendiri. Tapi, baiki keadaan sebelum terlambat. Kenapa saya kata sebelum terlambat?

Jangan kerana kita malas berbual dengan orang yang dekat dengan kita, masalah mereka yang asalnya boleh diselesaikan jadi tak dapat diselesaikan. Tak semua orang, akan bercerita jika tidak ditanya.  Jadi, mulakan dari sekarang, berbual perkembangan masing-masing.

Masalah kita sendiri, kadang kadang, ya kita malas nak bercerita jika tidak ditanya. Kadang-kadang malas nak minta bantuan ahli serumah sebab tidak yakin. Tapi tanpa sedar, belum tentu menyepi itu lebih baik.